Terima kasih atas kunjungan anda
KOTA KINABALU 11 Mac - Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di Sabah menurun 0.46 peratus kepada 94.39 peratus berbanding 94.85 peratus pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Maimunah Suhaibul berkata, walaupun menunjukkan penurunan, tetapi pencapaian itu melebihi sasaran di peringkat kebangsaan iaitu 90.8 peratus.
"Pencapaian SPM 2009 di Sabah mengatasi sasaran di peringkat kebangsaan kira-kira 3.6 peratus," katanya pada sidang akhbar di Maktab Sabah, Sembulan di sini hari ini.
Katanya, jumlah calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut pada tahun lalu ialah 40,594 orang tetapi hanya 33,262 orang yang menduduki SPM 2009.
Daripada jumlah berkenaan, katanya, seramai 31,198 calon layak untuk mendapat sijil SPM 2009.
Beliau memberitahu, seramai 95 calon berjaya memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 14 calon dalam peperiksaan SPM pada tahun sebelumnya.
"Begitu juga bilangan pelajar yang lulus semua mata pelajaran turut bertambah iaitu seramai 14,417 calon atau 43.93 peratus berbanding 13,812 calon (44.55 peratus) pada tahun 2008," katanya.
Menurutnya, seramai 1,946 calon memperoleh gred C dalam semua mata pelajaran berbeza dengan 1,910 calon pada tahun sebelumnya.
Beliau memberitahu, pencapaian nilai gred purata negeri (GPN) pula turut menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan 5.89 peratus berbanding 5.87 peratus sebelumnya.
Maimunah berkata, pada kali ini sebanyak 25 buah sekolah dikategori sebagai sekolah cemerlang SPM 2009 dan lapan buah daripadanya adalah di kawasan luar bandar.
Antara sekolah luar bandar itu, katanya, adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu, SM Teknik Keningau dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Said Kota Belud.
Jumlah mata pelajaran dalam SPM tahun lalu katanya, adalah 103 subjek dan daripada jumlah itu, sebanyak 44 mata pelajaran mencapai keputusan lulus 100 peratus.
Sementara itu, bagi keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di Sabah, beliau berkata, pencapaian keseluruhan menunjukkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus.
Jelasnya, peningkatan itu adalah berdasarkan pencapaian sebanyak 64.10 peratus pada tahun ini berbanding 55.90 peratus sebelumnya.
Beliau menambah, jumlah calon STAM juga meningkat seramai 29 orang iaitu 156 calon berbanding 127 calon pada tahun sebelumnya.












biarlah turun keputusan sebab2 itu hanya angka2 yg....tidak pasti apakah itu akan menjadi ukuran bagi manusianya...apa sih ertinya dgn angka2 keputusan tinggi klu nanti manusia yg kita produce itu jadinya macam syaitan. Kita lihat angka remaja yg terlibat dlm geala sosial semakin meningkat...itu adalah manusia yg kita produce dari sekolah di seluruh negara. Kerana itu sasaran sekolah bukan angka2 keputusan tetapi sasarannya adalah bagaimana Sekolah itu dpt melahirkan seramai mungkin manusia yg baik tingkahlakunya, baik perangai dan adabnya, utuh ugamanya dan hormat pd dirinya dan tatasusila negara.