Terima kasih atas kunjungan anda
NABAWAN: Kira-kira 7,000 penduduk dalam kawasan Mukim Nabawan akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air ber- sih jika musim kemarau berlanjutan dalam tempoh sebulan lagi.
Pemaju Mukim Nabawan Ampulas Kaluhu ketika ditemui kelmarin berkata, rata-rata penduduk di mukim ini bergantung kepada bekalan air dari Jabatan Air dan selebihnya bergantung kepada bekalan air paip graviti.
Namun katanya, kebanyakan kampung di sekitar Pekan Nabawan seperti Kg. Murni, Kg. Malinja, Kg. Ria, Kg. Bahagia, Kg Lima dan beberapa buah kampung berhampiran kini mula sukar untuk mendapat bekalan air bersih.
Katanya, bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Jabatan Air semakin berkurangan berikutan sumber tadahan sungai Panawan semakin turun.
“Kampung-kampung yang bergantung dengan bekalan paip graviti juga turut mengalami masalah kekurangan air kerana tadahan semakin kering,” katanya kepada New Sabah Times ketika ditemui di Kg. Lima kelmarin.
Pegawai Kemajuan Masyarakat Nabawan Barahim Andipoh yang membuat tinjuan di Kg. Lima berkata, penduduk di kampung ini terpaksa mengambil air bersih secara bergilir- gilir di saluran paip graviti yang satu-satu pada ketika ini menjadi sumber air penduduk kampung ini.
“Tekanan air graviti itu tidak mampu membekalkan air di rumah penduduk kerana sumbernya semakin berkurangan” katanya.
Katanya, mereka hanya boleh mendapatkan air di batang paip yang berampai di tanah.
Itu pun katanya, penduduk menunggu berjam-jam untuk mendapatkan beberapa liter air sahaja.
Menurut tiga orang ibu yang ditemui di Kg. Lima semasa menadah air memberitahu, mereka terpaksa menunggu gilaran selama lima jam untuk mendapatkan bekalan air bersih dari sumber air itu.
Seorang ibu Ariati Lumbi 27, berkata mereka sanggup menunggu berjam-jam untuk mendapatkan air kerana tiada pilihan lain untuk mendapatkan air bersih untuk keperluan memasak dan minum.
“Kalau untuk mandi kami terpaksa menggunakan sungai Panawan walaupun kebersihannya tidak terjamin” jelasnya.
Ariati bersama dua lagi rakannya Fidelina Raymond 27,dan Masuri Tingkalur 25 serta seluruh penduduk Kg. Lima mendapatkan bekalan air bersih di sumber air itu secara bergilir-gilir sejak dari awal pagi sehingga tengahari.
Bagi yang datang kemudian terpaksalah menunggu sehingga lima jam untuk mendapatkan air bersih.
Selain penduduk kampung di mukim ini, warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan turut mengalami masalah kekurangan air.
Jurucakap Jabatan Air Daerah Nabawan ketika dihubungi mengesahkan bekalan air di daerah ini semakin berkurangan.











